Tips Pengantin : Perempuan Lambat Kahwin, Lagi Susah Nak Mengandung

Spread the love

Ramai wanita memilih menangguhkan usaha memulakan keluarga. Wanita (dan lelaki) mungkin ingin membina kerjaya, menjalinkan hubungan dengan pasangan yang sesuai, menjadi lebih stabil dari segi kewangan dan emosi atau salah satu daripada kombinasi faktor berkenaan.

Namun, ramai orang muda tidak sedar kesan umur terhadap kesuburan. Apabila wanita semakin matang, kebarangkalian kehamilan semakin menurun manakala kebarangkalian ketidaksuburan meningkat. Kesuburan lelaki juga menurun mengikut umur dan sperma yang dihasilkan berkemungkinan mempunyai kromosom tidak normal.

 

Peluang kehamilan mengikut umur

Apabila usia wanita semakin meningkat, ovulasi tidak lagi kerap dan jumlah telur yang berkualiti berkurangan dengan ketara, maka mereka semakin sukar untuk hamil. Kajian juga menunjukkan terdapatnya peningkatan kadar ketidaknormalan kromosom dalam kalangan wanita yang lanjut usia.

Keguguran dan komplikasi lain berkaitan kehamilan, termasuk diabetes gestasi (kencing manis ketika hamil) dan darah tinggi, lebih lazim berlaku dalam kalangan wanita berumur 35 tahun ke atas.

Penurunan kesuburan yang berkait dengan umur dan peningkatan kebarangkalian keguguran bermakna menangguh mendapatkan anak akan memberi lebih tekanan fizikal terhadap tubuh wanita dan menjejaskan kesihatan bayinya.

Ada juga wanita yang tidak inginkan anak langsung kerana dia (atau pasangannya, atau kedua-duanya) mungkin mempunyai masalah genetik (contohnya talasemia, sindrom Down) dan bimbang masa depan anak yang belum dilahirkan.

 

Bagaimanapun, sekiranya anda berfikir untuk memulakan keluarga tetapi mempunyai kebimbangan seperti yang disebutkan di atas, anda perlu pertimbangkan perkara berikut:

• Dapatkan pengetahuan mengenai peningkatan risiko ketidaknormalan kromosom dan jenis ujian yang ada untuk mengesannya. Seorang kaunselor genetik, pakar kesuburan atau pakar ginekologi boleh memberi maklumat terperinci dan membantu anda memilih ujian yang sesuai.

• Sekiranya anda menghidap masalah kesihatan (contohnya darah tinggi, diabetes, penyakit tiroid, obesiti), pastikan ia stabil dan terkawal sebelum memikirkan mengenai kehamilan. Bincang dengan doktor anda mengenai perkara ini dan bagaimana ia boleh menjejaskan masalah kesihatan yang sedia ada.

• Amalkan gaya hidup sihat dengan mengambil diet yang berkhasiat dan seimbang serta banyak bersenam.

 

Kemajuan dalam rawatan kesuburan dan pencapaian bidang teknologi reproduktif sejak kebelakangan ini juga memberi peluang kepada ramai pasangan mencapai impian mereka untuk mendapat anak dan memulakan sebuah keluarga. Sebagai contoh:

• Persenyawaan in vitro atau In vitro Fertilization (IVF) – proses apabila telur disenyawakan dengan sperma di dalam makmal dan kemudian embrio dialih ke dalam rahim.

• Permanian intrauterin atau Intrauterine Insemination (IUI) – sperma dimasukkan ke dalam rahim menggunakan peranti khas berdekatan dengan telur hampir pada waktu ovulasi.

• Suntikan sperma intrasitoplasmik atau Intracytoplasmic Sperm Injection (ICSI) – dilakukan sebagai sebahagian daripada pusingan rawatan persenyawaan in vitro apabila satu sperma disuntik ke dalam sebiji telur menggunakan alat manipulasi mikro yang sangat halus.

• Penyimpanan krio – pembekuan tisu manusia (contohnya air mani, telur dan embrio) dan menyimpannya di dalam tangki yang direka khas untuk digunakan apabila pasangan membuat keputusan untuk mendapat anak.

• PGD & PGS – prosedur apabila embrio hasil rawatan IVF diuji untuk mengesan masalah genetik dan hanya embrio yang sihat dipilih untuk implantasi (dimasukkan ke dalam rahim).

 

Namun begitu, perlu diketahui anda mempunyai peluang lebih tinggi untuk hamil, melahirkan bayi yang sihat dan gembira ketika berumur dalam lingkungan 20-an dan awal 30-an. Sekiranya anda mempunyai masalah kesuburan, lebih awal anda berjumpa doktor, lebih mudah doktor mengatasi masalah kesuburan anda. Oleh itu, jangan tunggu terlalu lama untuk mendapatkan bantuan pakar.

 

Sumber : https://www.pesonapengantin.my/perempuan-lambat-kahwin-lagi-susah-nak-mengandung/?fbclid=IwAR195-c9Of-MPXt1NXsQA67HfeKhU9H1FkJaO-0ojBJqQgXOP9HQuqcIbys

 

Post navigation