Tips Pengantin : 6 Adab Pada Malam Pertama Menurut Ajaran Islam Yang Semua Bakal Pengantin Perlu Tahu

Spread the love

Pasti terujanya rasa hati kerana tak lama lagi, kita akan mendirikan rumah tangga. Tapi, pasti ada juga rasa berdebar atau gusar kerana tak tahu apa nak jangka untuk malam pertama kita bersama pasangan.

Sebaik sahaja lafaz nikah diucap, maka anda dan pasangan kini sudah pun bergelar suami isteri. Perkara yang sebelum ini haram telah pun bertukar menjadi halal.

Antaranya adalah hal keintiman antara lelaki dan wanita.

Di sini, kami kongsikan adab-adab yang boleh anda buat dari mula sehinggalah ketika ingin tidur selepas bersama dengan pasangan pada malam pertama!

 

1. Mengambil wudhu dan solat dua rakaat

Antara adab di malam pertama yang boleh anda amalkan adalah dengan mensucikan diri.

Sebelum melakukan hubungan seksual untuk pertama kali, anda digalakkan untuk mengambil wudhu dan mengerjakan solat sunat dua rakaat bersama suami atau isteri anda.

Amalan ini telah menjadi amalan para sahabat dan orang soleh yang terdahulu. Tak salah rasanya untuk anda cuba kerana ia bertujuan untuk mengambil berkat dan memulakan perhubungan dengan cara beribadah dan amal soleh.

Selepas solat berjemaah bersama, bacalah doa ini:

Allahummar zuqnii ilfahaa wa wuddahaa wa ridoohaabii wa ardinii bihaa, wa ajma’ bainanaa biahsani ijtimaa’ wa anasi itilaafin fainnaka tuhibbul halaala wa tukrihul haraam.

Doa ini membawa makna yang cantik iaitu:

Ya Allah, berkati diriku dengan kasih sayangnya, cinta dan penerimaannya terhadapku dan buatkanlah aku senang dengannya dan satukanlah kami dalam satu pertemuan yang terbaik dan harmoni, sesungguhnya Engkau sukakan yang halal dan bencikan yang haram.

 

2. Memberi salam dan berdoa untuk isteri

Apabila anda dan pasangan sudah bersedia untuk melakukan hubungan intim buat pertama kali, maka suami digalakkan untuk menghampiri isteri dengan lemah-lembut. Jangan menerkam atau tergopoh-gapah!

Berikan salam kepadanya dan letakkan tangan di ubun kepala isteri dan bacalah doa ini:

“Allahumma inni as-aluka khoiroha wa khoiroma jabaltahaa ‘alaih wa ‘a’uzubika min sharriha wa min sharrima jabaltahaa ‘alaih.”

Doa ini membawa maksud:

“Ya Allah, aku memohon darimu kebaikannya dan kebaikan yang dibawanya dan aku berlindung dari kejahatannya dan dari kejahatan yang dibawanya”

 

3. Memberikan minuman manis kepada isteri

Selain daripada menghampiri isteri dengan lemah-lembut, para suami juga digalakkan untuk membawa secawan minuman manis untuk diberikan kepada isteri.

Jadi, siap-sedialah rumah anda dengan air manis seperti susu atau air madu. Tujuan
memberikan minuman ini adalah untuk membuatkan isteri anda kurang gelisah dan lebih selesa. Ia juga dianggap sebagai ice breaker. Kuranglah rasa kekok itu nanti!

Dalam satu hadith sahih diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Asmaa bint Yazeed ibn al-Sakin ada berkata:

“Aku menyediakan dan mencantikkan Aishah untuk Rasulullah. Kemudian, baginda menghampirinya dan duduk di sebelah Aishah. Baginda diberikan secawan besar susu, lalu baginda minum dan memberikannya kepada Aishah.”

 

4. Menggosok gigi sebelum melakukan hubungan seksual suami isteri

Kalau sebelum ini sewaktu bujang kita jarang menggosok gigi sebelum tidur, selepas
berkahwin, ia adalah masa terbaik untuk mengubah perangai kepada yang lebih molek. Untuk malam pertama, Islam mengajar kita membersihkan diri sebelum menghampiri pasangan.

Gosoklah gigi anda sebelum melakukan hubungan seksual dengan suami atau isteri. Ini supaya nafas kita kekal segar dan wangi. Ia sekaligus membantu melancarkan hubungan intim kerana tiada rasa tidak selesa akibat bau yang tidak menyenangkan.

Dalam satu hadith oleh Shuraih ibn Haani:

“Aku bertanya kepada Aishah tentang apa yang Rasulullah akan buat sebelum dia masuk ke rumah dan Aishah menjawab: “Memberus gigi!”

 

5. Membaca doa sebelum berjimak

Selain daripada mengambil wudhu, mengerjakan solat sunat dan menggosok gigi, anda juga digalakkan untuk membaca doa pelindung diri sebelum berjimak dengan pasangan.

Ia adalah satu doa yang cukup indah kerana jika kita menghayati maknanya, kita dapat memahami bahawa doa ini meminta kebaikan sekiranya hubungan kita diberkati dan membuahkan hasil dengan kehadiran cahaya mata.

Doanya berbunyi seperti ini:

Bismillah allahumma jannibnaa ash-shaiton wa jannibi ash-shaitona maa rozaqtanaa

Maksud doa sebelum berjimak ini adalah:

Dengan nama Allah, Oh Allah, jauhi syaitan daripada kami dan jauhi syaitan daripada apa yang akan Engkau berikan kepada kami.

Pada penghujung hadith doa ini, Rasulullah ada bersabda: “Jika Allah mengurniakan zuriat kepada mereka, syaitan tidak akan dapat mengapa-apakannya.”

 

6. Melakukan pemanas badan terlebih dahulu

Selepas selesai segala adab di atas, maka anda pun bolehlah memulakan hubungan mesra dengan pasangan. Ajaran Islam sangatlah indah dan tertib sehinggakan ia mengambil kira keperluan kedua-dua jantina ketika berhubungan intim.

Suami digalakkan untuk melakukan pemanas badan terlebih dahulu dan bukannya terus memasuki isteri tanpa pendahuluan. Lakukanlah foreplay atau bercumbu.

Ucapkan kata-kata manis yang penuh kasih sayang.

Cumbuan penting untuk isteri kerana ia turut membantu membasahkan isteri supaya mudah untuk si suami melakukan penetrasi. Kuranglah sedikit rasa sakit buat wanita yang baru pertama kali melakukannya.

 

Sumber : https://www.pesonapengantin.my/6-adab-pada-malam-pertama-menurut-ajaran-islam-yang-semua-bakal-pengantin-perlu-tahu/?fbclid=IwAR31du9_nHaXMBuIAXRAN867sIX3kbSRWNGsudlhiGEp8eVXdGqaMLva5F0

Post navigation