Tips Pengantin : Anak Lelaki Selepas Berkahwin, Bertanggungjawab Terhadap Kedua Ibupanya Juga Mertua

Spread the love

Suami menjadi orang penting bagi kehidupan isteri dan anakanak. Persoalannya, adakah tanggungjawab suami hanya terbatas pada keluarganya sahaja atau bagaimana?

 

1 – Memberi Nafkah Dan Segala Keperluan Isteri

Isteri yang dinikahi itu secara tidak langsung menjadi tanggungan penuh oleh lelaki tersebut (suami). Oleh itu, perlu diambil berat mengenai nafkah zahir dan batin isteri, serta segala keperluannya termasuk asas pendidikan Islam mengikut kadar kemampuan suami.

 

2 – Menyara Segala Keperluan Nafkah Dan Pendidikan Anakanak

Jika hasil perkahwinan itu dikurniakan anak-anak, maka lelaki itu bertanggungjawab pula menyediakan segala keperluan dan pendidikan kepada anak-anaknya dengan dibantu oleh suri hatinya.

 

3 – Tidak Mengabaikan Tanggungjawab Kepada Ibu Bapa

Sama ada ibu bapanya sendiri atau ibu bapa mertuanya, lelaki yang sudah berkahwin masih perlu menunaikan tanggungjawabnya kepada kedua-dua belah pihak. Ini kerana apabila si lelaki sudah mengahwini isterinya, ibu bapa mertua adalah menjadi mahramnya dan sama taraf dengan ibu bapanya sendiri.
Dalam hadis Sahih Bukhari,

 

“TELAH DATANG SEORANG LELAKI BERTANYA KEPADA RASULULLAH SAW; ‘SIAPAKAH YANG PERLU KITA HORMATI DAN KASIHI SELEPAS ALLAH DAN RASUL?’ JAWAB RASULULLAH, ‘IBU KAMU’. ‘SETELAH ITU?’ TANYA LELAKI ITU LAGI. ‘IBU KAMU’ JAWAB BAGINDA. ‘SETELAH ITU?’ LELAKI ITU BERTANYA LAGI DAN JAWAB BAGINDA, ‘IBU KAMU’. KALI KEEMPAT LELAKI ITU BERTANYA LAGI, ‘SELEPAS ITU?’ JAWAB BAGINDA, ‘AYAH KAMU’.”

 

4 – Membantu Isteri Menguruskan Hal Rumahtangga

Rasulullah SAW adalah suri teladan terbaik yang boleh dijadikan contoh ikutan oleh kaum lelaki dalam melaksanakan tugas sebagai seorang ketua keluarga sekaligus pembantu kepada isteri dalam melakukan tugas harian di rumah.

 

“AISYAH PERNAH DITANYA, ‘APAKAH YANG DILAKUKAN OLEH NABI SAW DI RUMAHNYA?’ AISYAH MENJAWAB, ‘BAGINDA MEMBANTUKU MELAKSANAKAN KERJA-KERJA DI RUMAH’.” (Hadis Riwayat Bukhari)

 

5 – Mencari Sumber Rezeki Yang Halal

Jika tidak bekerja, bagaimana lelaki mahu menyara keluarganya nanti? Rezeki tidak akan datang bergolek, ia perlukan usaha dan tawakkal pada Allah Yang Maha Memberi Rezeki. Cari dan buatlah apa-apa jua pekerjaan sekalipun, asalkan ianya halal dan mendapat keberkatan di sisi Allah SWT.

Ini kerana setiap sumber pencarian yang dibawa pulang itu akan menjadi ‘makanan’ kepada isteri dan anak-anak. Jika sumber rezeki itu diperoleh dengan cara yang batil, secara tidak langsung ia akan memberi kesan kepada rohani, fizikal mahupun mental mereka.

 

6 – Mendalami Ilmu Agama

Tanpa agama, seseorang itu ibarat layang-layang yang terputus talinya. Membawa dirinya tanpa hala tuju dengan mengikut tiupan angin. Begitu juga manusia jika tanpa agama, seakan tiada panduan atau matlamat jelas dalam hidupnya.

Oleh itu, setiap lelaki yang menjadi ketua keluarga sewajarnya perlu menitikberatkan hal ini dalam mengemudi bahtera rumahtangga yang dibina. Masih belum terlambat untuk mendalami ilmu agama jika kita banyak tidak tahu mengenainya.

 

7 – Menghubungkan Silaturrahim Dengan Masyarakat Sekitar

Walaupun sudah berumahtangga, usah menjadikan alasan tidak dapat bergaul atau beramah mesra dengan masyarakat di sekitar. Contoh mudah, boleh jadikan apa jua majlis keraian seperti majlis perkahwinan, gotong-royong, solat berjemaah di surau atau masjid untuk berkenal-kenalan dengan penduduk sekitar.


Siapa tahu, suatu hari nanti anda sakit atau sangat memerlukan bantuan. Sudah pasti jiran terdekat atau komuniti sekitar menjadi tempat untuk anda meminta pertolongan.


Mudah-mudahan, perkongsian yang sedikit ini dapat memberi manfaat kepada pembaca terutama buat kaum Adam yang sudah pun bergelar suami, atau kepada mereka yang bakal mendirikan rumahtangga.


Apapun, ambil dan contohilah teladan Rasulullah saw dalam mengemudi rumahtangga yang dibina bersama serikandi-serikandi Baginda Nabi saw hingga akhir hayatnya. Wallahua’lam.

 

 

SUMBER : https://www.pesonapengantin.my/anak-lelaki-selepas-berkahwin-bertanggungjawab-terhadap-kedua-ibupanya-juga-mertua/?fbclid=IwAR3l3UQmXZdRPFgLtaCkcP6Tv7oGp4Sw55y4UUW0fVIIBrSxkAaNyw3-WFw

Post navigation

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *