Tips Pengantin : Nak Tegur Pasangan Janganlah Kasar Sangat

Spread the love

TIP-TIP MENEGUR & MENASIHATI DALAM RUMAH TANGGA

 

 


#1-Pilih Masa yang Terbaik

Perkara pertama yang perlu diambil kira untuk menegur adalah masa yang bersesuaian. Masa yang bertepatan dan bersesuaian dapat menentukan gaya penerimaan orang yang ditegur.

Masa yang Tidak Sesuai

Ada beberapa masa yang tidak sesuai untuk menegur contohnya ketika dia sedang sibuk, ketika kamu berdua sedang bercuti atau ketika dia baru sahaja sampai rumah. Pada waktuwaktu begini, anda tidak boleh terus terjah dengan pertanyaan dan teguran kepada si dia.

Jika anda merasakan teguran itu begitu penting dan perlu disampaikan segera, bawalah pasangan anda ke tempat yang privasi dan jauh dari kawasan yang ramai orang. Itu lebih baik. Hormati pasangan anda.

Masa Terbaik !

Masa yang terbaik untuk menegur adalah ketika anda sedang berdua-duaan dengan pasangan. Seperti selepas solat berjemaah. Insha Allah, ketenangan yang dirasakan selepas solat akan memudahkan penyampaian teguran anda untuk pasangan.

 

#2-Pilih Tempat yang Terbaik

Selain masa yang tepat, teguran akan mudah disampaikan dan diterima jika memilih tempat yang bersesuaian.

Tempat yang bersesuaian dan ada privasi memberi kebaikan kepada kedua-dua belah pihak.

Pihak yang memberi teguran akan merasakan emosi yang stabil untuk menyampaikannya.

Manakala pihak yang menerima terjaga kehormatan dan kekurangannya daripada diketahui oleh orang lain.

Cuba lihat sekeliling kita, pernah jumpa pasangan yang secara terang-terangan menegur pasangannya di restoran atau tempat-tempat awam yang lain?

Orang sekeliling yang memandang juga sudah tidak selesa, apatah lagi pasangan yang menerima teguran tersebut. Pasti dia malu dan sedih. Usah mengungkit kesalahannya di hadapan orang lain.

 


#3-Pilih Medium Komunikasi yang Terbaik

Dalam memberi teguran, yang penting adalah tujuan penyampaian dan perubahan yang diharapkan dari pasangan.

Pasangan yang Sensitif

Jika pasangan anda seorang yang sensitif, anda perlu bijak main peranan. Tegurlah dia secara berlapik dan dengan kiasan. Berhati-hati juga, kiasan yang berlebih-lebihan akan memburukkan lagi keadaan. Dibimbangi pasangan jadi salah paham dan maksud sebenar yang ingin diberikan tidak sampai.

Oleh itu, medium komunikasi terbaik untuk anda dan pasangan adalah dengan bertemu dua mata dan berinteraksi secara realiti dengan pasangan. Lebih bagus sampaikan teguran anda secara berhadapan.

Sukar Menegur Pasangan Secara Berhadapan

Ada sesetengahnya tidak boleh menegur pasangan mereka secara berhadapan. Jadi, medium komunikasi yang boleh membantu adalah melalui media sosial.

Cara yang anda boleh lakukan seperti simpan gambar atau link laman web dan hantar kepada  dia secara privasi bersama dengan ayat “Saya mahu awak baca ini, ianya bahan bacaan yang baik untuk memperbaiki diri kita”.

Harus diingat, gunakan media sosial dengan cara yang terbaik, tidak kongsi post atau tag nama pasangan tentang sesuatu perkara yang boleh membuka aib rumah tangga anda.

 


#4-Cara Penyampaian yang Penuh Kasih Sayang

Cara penyampaian yang penuh kasih sayang. Dalam teguran anda, selitkan juga kebaikan.

Contohnya ada pujian pada pasangan dan sedikit kata-kata motivasi supaya dia dapat membezakan teguran anda bukan untuk menyerangnya tetapi untuk menasihati dia menjadi lebih baik.

 


#5-Buat Pasangan yang Menerima Teguran, Lapangkan Hati

Jika individu yang ingin memberi teguran sudah melakukan perkara yang sepatutnya, pihak yang satu lagi harus menerima dengan hati terbuka.

Hormatilah dia yang memberi teguran. Boleh jadi teguran itu akan menyakitkan kamu tapi cukuplah dengan mendengarnya. Jika kamu rasa teguran itu tidak membantu, ambillah ia sebagai satu informasi. Berlapang dada, ingat Allah, istighfar. Jangan biarkan syaitan menghasutmu dan memperdayakan kamu.

Akhirnya, kepada sesiapa pun kita memberi teguran sentiasa ingat segera hindari dari berkata kasar dan keras. Teguran yang kasar dan tidak berhemah akan menjauhkan hubungan suami isteri seterusnya rumah tangga hilang seri.

Wujudkan keharmonian rumah tangga kerana ia sangat penting untuk mendapat keredhaan Allah S.W.T. Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:

“Sesungguhnya apabila seorang suami menatap isterinya dan isterinya membalas pandangan (dengan penuh cinta dan kasih), maka Allah menatap mereka dengan pandangan kasih mesra. Dan jika suami membelai tangan isterinya, maka dosa mereka jatuh berguguran di celah-celah jari tangan mereka”

 

 

SUMBER : https://www.pesonapengantin.my/nak-tegur-pasangan-janganlah-kasar-sangat/

Post navigation

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *