Tips Pengantin : Keberkatan Dalam Rumahtangga, Boleh Dicipta Kalau Tahu Bersabar

Spread the love

Allah S.W.T bersifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Tanda Allah S.W.T. kasih kepada hambaNya adalah Allah S.W.T. memberi pertolongan , rahmat dan keberkatan dalam kehidupan.


Terdapat 5 keberkatan kurniaan Allah S.W.T. diberikan kepada hamba-hamba yang dikasihiNya iaitu:


– Keberkatan pada umur
– Keberkatan pada kehidupan berkeluarga
– Keberkatan pada rezeki
– Keberkatan pada berjemaah
– Keberkatan pada ilmu

 


Pada hari ini, banyak kita lihat hubungan suami isteri yang bermasalah, seolah-olah barakah daripada ikatan perkahwinan hanya dirasai seawal tahun pertama perkahwinan. Mungkinkah sudah hilangnya kemanisan dan keberkatan tersebut? Jadi, penulisan kali ini ingin berkongsi tip-tip menjemput keberkatan dalam hubungan suami isteri.


TIP-TIP MENJEMPUT KEBERKATAN HUBUNGAN SUAMI ISTERI

 


#1-Solat Berjemaah Pengikat Hati
Indahnya rumahtangga dikurniakan ketua yang dapat memimpin isteri dan anak-anaknya mengikut ajaran Islam. Lagi hebat dapat menjadi imam solat kepada makmumnya.

Solat adalah talian hayat manusia dengan Allah S.W.T.

Baginda nabi menyarankan supaya sahabat balik dan bersolat dengan ahli keluarga. Harus bagi seorang Muslim solat bersama ahli keluarganya. Lebih-lebih lagi bila anak dan isteri perlukan bimbingan si suami atau ayah dalam membimbing mereka dalam solat.

Baginda bersabda yang bermaksud: “Pulanglah kepada keluarga kalian, dirikanlah solat bersama mereka, ajarlah dan perintahkan mereka (untuk solat). Solatlah kalian sebagaimana kalian melihat aku solat. Jika telah masuk waktu solat, hendaklah salah seorang kalian melaungkan azan dan yang paling tua menjadi imam.” (Sahih al-Bukhari: 595 dan Muslim: 1080)

Bila lakukan solat berjemaah, sifat hormat pada suami automatik akan terbentuk dalam jiwa isteri. Sebab dalam solat setiap perlakuan suami, isteri akan ikut dan patuh. Selesai solat, ada wirid memuji Allah dan suami membacakan doa-doa, isteri pun mengaminkan doa tersebut.

Maka kedua-duanya ada matlamat yang sama dan mudahlah mencapai keberkatan.

 


#2-Makan Berjemaah: Lagi ramai, lagi barakah!
Makan berjemaah adalah antara adab makan yang diajarkan oleh Nabi S.A.W. Makan
berjemaah iaitu makan bersama-sama. Sama ada makan bersama dalam satu dulang, atau satu meja atau dibawah satu khemah seperti di majlis-majlis.

Rasulullah S.A.W. bersabda:
Maksudnya: “Makanlah berjemaah dan sebutlah nama Allah sebelumnya, tentu makanan tersebut akan diberkahi.” (HR Abu Dawud)

Bila makan berjemaah akan turunnya keberkahan pada makanan tersebut. Oleh sebab itu, semakin banyak jumlah orang yang makan maka keberkahan juga semakin bertambah.

Dalam rumahtangga, ladang pahala bagi seorang isteri adalah kepada suaminya. Suaplah makanan ke mulut suami. Suami pun janganlah malu-malu, suaplah juga makanan untuk isterimu. Semoga dari suapan kecil ini menyuburkan lagi hubungan kasih sayang dan keberkatan makanan mengalir dalam tubuh badan kita.

Kalau tidur boleh sebantal, makan tentulah boleh sepinggan….kan?

 


#3-Bersyukur Dengan Apa Yang Kita Ada, Bukan Fikir Apa Yang Kita Tidak Ada.
Kerap kali kita iri hati pada rezeki orang lain, padahal kita tidak tahu apa yang Allah telah ambil dari dia. Syukuri dengan benda yang kita ada sekarang, bukan fikir dengan benda yang kita tidak ada sekarang. Banyak fikir, tekanan nanti pada diri kita.
Ketika aku ingin hidup kaya, aku lupa bahawa hidup ini adalah sebuah kekayaan.

Ketika aku takut memberi, aku lupa bahawa semua yang aku miliki adalah sebuah pemberian.

Ketika aku merasa rugi aku lupa bahawa hidupku adalah sebuah keberuntungan kerana anugerahNya.

Hidup adalah pilihan. Tidak perlu sedih akan cubaan yang diterima, kita tidak tahu apa yang akan diberikan Allah kepada kita.

Barangkali kamu sudah berkahwin lama namun belum direzekikan dengan anak. Tetapi Allah berikan kamu kerjaya yang tetap dan mempunyai pekerja-pekerja di bawah tanggungjawab kamu. Ya…anak dan pekerja ini sama sahaja. Kedua-duanya adalah amanah. Amanah yang kamu pegang menjadi tanggungjawab dan bakal menjadi saham akhirat kamu nanti. Baik jagaannya, maka barakahlah hidup kamu dan sebaliknya.


Kalau dalam hubungan suami isteri, tambahkan keberkatan hubungan dengan saling belajar menerima kekurangan pasangan kita. Mesti sahabat selalu dengar orang kata, pasangan kita adalah cerminan diri kita. Jadi, kurang-kurangkan la mengeluh dan berbalah dengan kekurangan masing-masing. Tanda-tanda rumahtangga yang berkat adalah ahli-ahli rumah bahagia dan saling menyayangi antara satu sama lain.


Dalam perkahwinan kita belajar untuk mensyukuri mesti tak cukup, ikhlas meski tak rela, taat meski berat, memahami meski tak sehati, sabar meski terbebani, setia meski tergoda, memberi meski tak seberapa, mengasihi meski disakiti, tenang meski gelisah.

 

SUMBER : https://www.pesonapengantin.my/keberkatan-dalam-rumahtangga-boleh-dicipta-kalau-tahu-bersabar/

Post navigation

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *