Tips Pengantin : Isteri Meragam, Suami Kena Pandai Takluk Emosinya

Spread the love

Bagaimana caranya agar hati wanita mudah ditakluki?

Wanita pertama yang Allah ciptakan adalah Hawa. Hawa diciptakan dari tulang rusuk yang mengelilingi hati untuk dicintai dan disayangi. Tidak diciptakan dari tulang kepala untuk menjadi pemimpin. Tidak pula diciptakan dari tulang kaki untuk diinjak-injak. Tidak pula diciptakan dari tulang tangan untuk dipukul dan dianiaya.

Asas keperluan emosi wanita untuk dicintai dan dihargai. Wanita juga dihormati dalam islam.

Contoh terbaik yang boleh diberikan adalah cara layanan Rasulullah S.A.W kepada isteri-isteri baginda.

TEKNIK 3 ‘A’ MENYENTUH EMOSI WANITA

 

#1- ATTENTION: Perhatian
Wanita dambakan perhatian dari sekecil-kecil perkara ke sebesar- besar hal. Ini termasuklah dari sekadar bertanya khabar sehinggalah perkara yang melibatkan masalah di tempat kerja dan masalah melibatkan anak-anak.

Mari lihat satu contoh cara Nabi S.A.W melayani dan memberi perhatian kepada isterinya.

Diriwayatkan dalam Sahih Bukhari dan Muslim bahawa: “Nabi Muhammad S.A.W duduk di sisi unta baginda. Kemudian baginda membengkokkan lututnya. Lalu isteri baginda, Shafiyyah meletakkan kakinya diatas lutut Nabi Muhammad S.A.W hingga naik ke atas unta”

Hadis diatas memperlihatkan akhlak mulia Nabi Muhammad S.A.W yang membantu isterinya menaiki unta. Baginda menjaga kehormatan isterinya dan perlakuan ini sama sekali tidak merendahkan martabat baginda sebagai seorang suami.

Suami, zahirkan keprihatinan dan perhatianmu terhadap isteri sebagai balasan ketaatan isteri terhadapmu

 

#2- AFFECTION: Kasih & sayang
Emosi wanita halus, tidak boleh berkasar dan perlu dijaga dengan penuh kelembutan. Sesuai dengan penciptaan wanita dari tulang rusuk lelaki yang bengkok.

Wanita mudah sayang pada lelaki yang pandai mendengar dan ada rasa belas kasihan.

Dengar tentang apa yang wanita katakan, luahan dan berikan perhatian sepenuhnya kerana hanya dengan itu wanita dapat menceritakan emosi mereka dan melepaskan kesedihan.

Wanita akan merasakan dirinya berada dalam hati seorang lelaki apabila lelaki dapat
menunjukkan rasa kasih sayang dengan kata-kata, pada tindakan dan mempamerkan
kepentingan wanita dalam hidup mereka.

Rasulullah S.A.W juga bijak dalam menerapkan elemen romantik ketika bersama isterinya.

Baginda memanggil isterinya dengan panggilan yang baik dan disukainya seperti “Wahai Humaira” (panggilan sayang untuk isteri baginda, Aisyah)

Lebih bagus jika ada satu nama panggilan yang khas dan digunakan pada waktu-waktu tertentu sahaja. Panggilan khas ini sebagai senjata tajam dalam melahirkan kemesraan dan dalam masa yang sama dapat melembutkan hati wanita lebih-lebih lagi waktu hubungan dalam krisis.

Agaknya, panggilan yang macam mana ya sesuai?

 

#3- APPRECIATION: Penghargaan
Satu kisah dari Rasulullah S.A.W yang menghargai dan mengasihi isteri baginda. Baginda tidak akan menghadiri sesuatu majlis tertentu tanpa disertai oleh isteri baginda.

Ini disandarkan kepada satu hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik:

“Sesungguhnya Nabi S.A.W mempunyai seorang jiran berbangsa farsi dan pandai memasak lauk berkuah. Dia telah memasak untuk dihidangkan kepada Nabi.

Lalu dia menjemput Nabi. Nabi berkata: “Apakah Aisyah dijemput sama?” Dia menjawab: “Tidak”. Nabi berkata: “Kalau begitu, aku pun tidak akan menerima jemputan itu.”

Dia pulang dan datang kembali menjemput. Nabi S.A.W berkata:”Apakah Aisyah dijemput sama?” Dia berkata lagi: “Tidak”. Nabi S.A.W berkata: “Kalau begitu, aku tidak akan menerima jemputan ini.”

Dia pulang dan datang lagi menjemput. Nabi berkata: “apakah Aisyah dijemput?” dia menjawab: “Ya” pada kali ketiga. Nabi dan Aisyah pun bangun dan sama-sama ke rumahnya Daripada kisah diatas betapa Nabi sangat menghargai isterinya. Dalam situasi diatas baginda tidak mementingkan diri baginda dan tidak meninggalkan isterinya untuk perkara yang lebih baik.

Penghargaan dapat menjadi daya penarik untuk melembutkan hati, menghapuskan amarah dan menjamin kasih sayang antara suami isteri.


Menarik untuk dibaca emosi dan perasaan seseorang wanita banyak dipengaruhi oleh hormon yang terdapat dalam tubuhnya.


Menakluki hati wanita perlu ada gaya dan caranya. Tawan emosinya terlebih dahulu. Sesudah itu mudah untuk anda meneruskan perhubungan untuk pengharapan yang lebih baik.

 

 

SUMBER : https://www.pesonapengantin.my/isteri-meragam-suami-kena-pandai-takluk-emosinya/

Post navigation

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *