Tips Pengantin : Buat Kerja Biarlah Ikhlas, Barulah Nak Kumpul Duit Kahwin Nanti Berkat

Spread the love

Niat kerja sebagai ibadah


Niat bekerja sebagai satu ibadah yang dilakukan kerana Allah SWT akan membetulkan hati manusia untuk melihat rezeki yang diperoleh itu adalah kurniaan Allah SWT semata-mata, bukan dari manusia.


Begitu juga niat bekerja mencari rezeki untuk membantu umat Islam yang lain akan meluruskan hati seseorang Mukmin untuk ikhlas dalam pekerjaannya lalu berbuat baik dengan rakan sekerja.


Niat yang baik ini akan mengikis sebarang akhlak buruk seperti dengki, khianat, busuk hati terhadap rakan sekerja kerana niat yang baik akan meluruskan setiap perbuatan dan perlakuan seseorang Mukmin.


Nabi Muhammad SAW sering mengingatkan sahabat untuk bekerja dengan niat kerana Allah  SWT. Orang yang berniat kerana Allah SWT umpama juga melaksanakan perbuatan di jalan Allah SWT (fisabilillah).


Dalam satu hadis Rasulullah SAW seperti yang diriwayatkan oleh Ka’ab bin Ujrah, ketika melihat seorang lelaki sedang gigih bekerja, sahabat berkata: “Ya Rasulullah, kalaulah lelaki ini bekerja kuat dan gigih untuk fisabilillah.” Lalu Nabi Muhammad SAW membetulkan sudut pandang sahabat bahawa apa yang dilakukan oleh lelaki itu yang bekerja dengan bersungguh-sungguh itu juga adalah bekerja di jalan Allah SWT.


Sabda Baginda Rasulullah SAW lagi: “Jika seseorang manusia yang bekerja untuk menyara ibu bapanya, bekerja untuk menyara dirinya daripada meminta sedekah, bekerja untuk mencari rezeki yang halal, pekerjaan seseorang itu umpama fisabilillah. Namun, jika manusia itu bekerja untuk riak, untuk mendapat pandangan manusia, untuk berlaku tidak adil sesama manusia, seseorang itu telah melaksanakan pekerjaan yang menuruti perbuatan syaitan.”

 

Oleh itu, umat Islam harus sedar bahawa bekerja dengan niat yang betul, akhlak dan
perbuatan yang baik adalah tempat jatuh pandangan Allah SWT kepada seseorang Mukmin yang pastinya tidak saja mendapat pendapatan yang berkat tetapi ganjaran pahala di sisi Allah SWT.

 


Amalan bangun awal pagi


Untuk mendapat rezeki yang berkat seseorang Mukmin juga mesti membiasakan diri dengan amalan bangun pada awal pagi. Nabi Muhammad SAW berdoa agar Allah SWT memberkati umatnya yang bangun pada awal pagi.


Justeru, menjalani kehidupan di awal pagi bukan bertujuan untuk mengejar kekayaan dunia, tetapi untuk mendapat keberkatan doa Baginda SAW dan kerana taat kepada perintah Allah SWT dan Rasulullah SAW.


Ulama dan sahabat memulakan hari mereka seawal pagi untuk merebut doa Rasulullah SAW dan seterusnya mendapat kehidupan yang berkat.


Bagi sesetengah ulama yang menjalankan perniagaan, pada siang hari mereka gigih mencari rezeki dan apabila menjelang malam, mereka menghabiskan waktu untuk beribadat kepada Allah SWT.


Hakikat yang perlu difahami oleh umat Islam adalah rezeki yang sedikit tetapi berkat dan mencukupi adalah jauh lebih baik dari rezeki yang melimpah ruah, tetapi sering kehabisan dan tidak mendatangkan kebaikan. Begitu juga bentuk pekerjaan dan di manapun tempat bekerja, ia adalah tempat jatuhnya pandangan Allah kepada setiap hambanya.


Oleh itu, buat bakal pengantin yang mahukan rezeki yang diberkati, jalanilah pekerjaan dengan amanah dan sebaik mungkin untuk mendapat kehidupan yang berkat dan ganjaran syurga Allah di akhirat kelak.

 

 

SUMBER : https://www.pesonapengantin.my/buat-kerja-biarlah-ikhlas-barulah-nak-kumpul-duit-kahwin-nanti-berkat/

Post navigation

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *