Tips Pengantin : “Jika Engkau Melihat Seorang Wanita, Lalu Ia Memikat Hatimu, Maka Segeralah Datangi Isterimu.”

Spread the love

Hal ini mungkin lazim dirasakan oleh kebanyakan lelaki yang sudah bergelar suami. Ketika melihat isteri sudah berwajah kusam dan gemuk tidak enak dipandang, timbul di benak mengatakan mengapa isteriku tidak secantik dulu. Ada suami yang boleh menerima isteri seadanya, ada pula yang bernafsu buas melirik pada wanita lain yang jauh lebih menarik. Di sinilah keimanan suami mula tercabar!


Tambah menyakitkan bila suami mempunyai hubungan dengan wanita lain. Alasannya, isteri tidak pandai merias diri, rasa jelak untuk memandang dan pelbagai alasan yang membuatkan mereka tertarik kepada wanita lain.


Kehidupan selepas berkahwin pastinya memberi pelbagai perubahan malah ia tidak seperti yang diharapkan. Seperti ada kerikil tajam yang menjadi cabaran dan membuat seseorang melecet hingga tersungkur. Suami seharusnya memahami pengorbanan yang isteri lakukan tidak terhitung nilainya.


Tugas memasak, membasuh, mengemas rumah dan banyak lagi dilakukan isteri. Sebagai ibu, mereka mengandung, melahirkan, membesarkan dan mendidik tanpa keluh kesah sedikit pun.


Oleh itu suami janganlah sering merungut lebih-lebih lagi jika isteri sudah tidak secantik dahulu.


Isteri tidak cantik lagi kerana salahnya sendiri? Duhai suami, anda harus baca pesanan yang dikongsikan oleh pengacara dan personaliti TV, Fedtri Yahya ini sebagai panduan. Ayuh muhasabbah diri.


Tulis Fedtri Yahya,


Semakin bertambah waktu, isteri semakin pudar kelebihannya di mata suami, manakala suami tiada apa yang kurang melainkan bertambah stabil dari pelbagai sudut. Apabila isteri tak lagi cantik seperti bidadari yang baru dikahwini, di sinilah keimanan, kesetiaan & nafsu suami teruji.

 

Tak susah nak mencari wanita berwajah cantik, buka instagram berlambak gambar wanita cantik selfie, ootd, posing menyerlahkan kecantikan masing-masing, beribu likes. Tidak kiralah samada free hair, seksi, pakai tudung labuh, pakai purdah, semua ada.


Kita tengok gambar ini cantik, kejap lagi naik satu lagi gambar wanita parasnya lebih cantik, gebu & flawless. Realitinya memang akan ada ramai sangat wanita lebih cantik dari isteri kita di rumah.


Sememangnya isteri kita tidak akan mampu memenuhi semua kehendak imaginasi nafsu, tetapi kita sentiasa boleh mengubah cara pandang itu, agar menjadikan keadaan berbeza. Mata isterimu memang sudah tidak bercahaya, bawah matanya lebam, eyebagnya jelas.


Mengapa? Kerana dia tidak pernah cukup tidur semenjak melahirkan zuriatmu ke muka bumi ini.

Kadang hanya mampu lelap seminit dua, tambahan jika anakmu tidak sihat, sakit. Tubuh badan isterimu sudah tidak seramping dulu, bahkan kadang sudah melebihi pemelukmu. Itulah dia kerana nafsu makannya membuak-buak apabila selesai menyusui anak-anakmu, memasakkan juadah yang enak untuk santapanmu saban waktu.


Memang panjang senarai kekurangan dan perubahan isteri jika hendak ditulis, tambah apabila bilangan anak dan umurnya makin bertambah. Tetapi didiklah mata dan hati agar sentiasa membesarkan pengorbanan isteri agar kekurangannya itu nampak lebih kecil.


Jika para suami bermuhasabah dan meletakkan dirinya sebagai antara punca isterinya jadi sebegitu, tentulah hatinya akan merasa lebih lapang dan luas untuk lebih menghargai. Apa pesan Nabi SAW kepada para suami, “Jika engkau melihat seorang wanita, lalu ia memikat hatimu, maka segeralah datangi isterimu. Sesungguhnya, isterimu memiliki seluruh hal seperti yang dimiliki oleh wanita itu.” (HR. Tirmidzi)


Selebihnya, tundukkanlah pandanganmu. Itu lebih baik untuk memelihara keimanan. Lebih payah kita meninggalkan hal yang nafsu jahat kita sukai, lebih besar kemanisan yang melimpahi hati.


Satu kemenangan apabila kita berjaya menundukkan nafsu jahat itu. Sesungguhnya perhiasan dunia itu adalah isteri yang solehah, maka renungilah betapa beratnya tugasmu untuk mendidik dan menuntunnya agar menjadi isteri solehah. Tuntunlah tangan isterimu, didiklah dia sebaiknya, doakan dan redhailah dia agar dia menjadi ketua bidadarimu di syurga nanti, yang akan muda dan cantik selamanya.


Jauh lagi perjalanan kita, kerana kita belum lagi di syurga-Nya, wahai saudaraku. Apa sahaja yang telah kita korbankan untuk memastikan anak isteri kita akan sama-sama masuk ke syurgaNya nanti? Semoga Allah merahmati semua pasangan suami isteri yang mentaati Allah di dalam dunia ini.

 

 

 

SUMBER : https://www.pesonapengantin.my/jika-engkau-melihat-seorang-wanita-lalu-ia-memikat-hatimu-maka-segeralah-datangi-isterimu/

Post navigation

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *