Tips Pengantin : Boleh Atau Tidak Bayar Mas Kahwin Secara Ansuran?

Spread the love

Mahar atau mas kahwin merupakan satu pemberian yang wajib suami berikan kepada isteri kerana pernikahan. Isteri berhak mendapat mas kahwin sejurus akad nikahnya sah. Mas kahwin akan menjadi hak isteri seepenuhnya dan tidak boleh diambil oleh suami atau ahli keluarga yang lain kecuali jika isteri benarkan.


Sebaik-baik mahar adalah yang paling mudah. Maknanya, ia mudah untuk dipenuhi oleh bakal suami. Namun, jika bakal suami tidak mampu, adakah boleh membayar mahar kepada isteri secara ansuran atau hutang?


Boleh Dengan Persetujuan Kedua-Dua Pihak


Menurut perbahasan ulama melalui al-Fiqh al Manhaji, mereka berpendapat bahawa boleh membayar mahar kepada isteri dengan cara hutang atau apa sahaja yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

 

“Pemberian mas kahwin tidak disyaratkan dengan segera. Ia boleh disegerakan atau ditangguhkan sebelum persetubuhan. Walau bagaimanapun, penangguhannya hendaklah berdasarkan tempoh masa yang telah dipersetujui masanya. Isteri juga berhak menahan dirinya daripada melakukan persetubuhan dengan suami sehingga mas kahwin tersebut langsai. Namun, jika ia bersetuju untuk ditangguhkan, maka isteri tidak berhak menahan diri daripada suami kerana ia adalah berdasarkan persetujuan masing-masing.”


Melalui perbincangan ini, ia menunjukkan bahawa mas kahwin adalah hak isteri yang wajib ditunaikan. Jika suami tidak mampu dan meminta dipanjangkan tempoh bayaran, ia dibolehkan dengan persetujuan masing-masing.



BACA: Jangan Keliru Antara Wang Hantaran Dan Mas Kahwin


Bagaimana Kalau Suami Meninggal Atau Bercerai Sebelum Membayar Mas Kahwin?


Jika suami meninggal sebelum sempat melunaskan bayaran mas kahwinnya kepada isteri, maka isteri boleh menuntut daripada harta suami atau juga ahli keluarganya. Namun, jika penceraian atau kematian berlaku sebelum sempat mereka bersentuhan, si isteri berhak mendapatkan separuh daripada kadar mas kahwin tersebut.

Mafhum: “Dan jika kamu ceraikan mereka sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka, padahal kamu sudah menetapkan kadar mas kahwin untuk mereka, maka mereka berhak mendapat separuh dari mas kahwin yang telah kamu tetapkan itu, kecuali jika mereka memaafkannya, (tidak menuntutnya); atau (pihak) yang memegang ikatan nikah itu memaafkannya (memberikan mas kahwin itu dengan sepenuhnya.” (Surah Al-Baqarah, 2:237)

 

 

SUMBER : https://www.pesonapengantin.my/boleh-atau-tidak-bayar-mas-kahwin-secara-ansuran/

Post navigation

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *