Tips Pengantin : Suami Tak Kerja, Isteri Kena Tanggung Keluarga Sampai Tak Mampu Beri Duit Pada Ibu Sendiri

Spread the love

Saya seorang isteri yang bekerja, suami pula menjaga anak dirumah. Saya dah cadangkan pada suami untuk mencari pekerjaan dan sanggup menghantar anak untuk dijaga ibu saya namun suami membuat alasan tak sanggup berpisah denagn anak. Masalahnya sekarang perbelanjaan rumah tidak mencukupi tambahan pula ibu dalam kesempitan hidup dan tidak berpendapatan. Saya ada juga mengirim wang untuk ibu tetapi tidaklah selalu dapat berbuat demikian. Persoalannya, berdosakah saya sekiranya saya tidak dapat membantu ibu, sedangkan gaji saya hanya mencukupi untuk keluarga saya (suami tidak bekerja)? Apabila saya menjelaskan hal ini kepada ibu saya, beliau berkecil hati, kerana saya tidak membantu sedangkan saya ada pendapatan. Suami saya adalah juga penghasilan di kampung tapi semuanya dikendalikan oleh ayahnya dan tidak pernah diberikan kepada kami. Mohon sedikit pandangan dari ustaz.

 

Jawapan

 

Tahniah kerana puan masih lagi tabah menghadapi ujian hidup berumahtangga. Didoakan semoga ketabahan itu akan terus kukuh menjiwai sanubari puan dan menjadi amal ibadah yang besar ganjarannya di sisi Allah Taala. Saya amat bersimpati dengan situasi yang puan alami. Yakinlah setiap ujian yang ditempuh dengan kesabaran pasti ada nikmatnya walaupun kita tidak mengecapinya di dunia dengan kadar segera, namun ianya akan tetap dikurniakan Allah Taala di akhirat nanti.

Tindakan suami puan itu agak tersasar dari realiti sebenar tanggungjawabnya sebagai seorang suami dan ketua keluarga. Dengan alasan yang diberikan amatlah rapuh hujahnya. Dinilai dari segi hukum pula berdosa tindakannya, dengan mengabaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga yang sepatutnya memberi nafkah, perlindungan serta kebajikan kepada isteri dan anak-anaknya.

Bagi menangani keadaan ini puan dinasihatkan membawa suami bertemu seseorang (yang dipercayai) yang boleh menasihatkan dan mengingatkannya tentang tanggungjawab sebagai seorang suami. Ataupun menghadiri sesi kaunseling sebagai ikhtiar yang perlu diusahakan. Disamping pasrah, redha dengan ujian Allah Taala teruskanlah usaha, banyakkanlah berdoa dipenghujung malam memohon bantuan daripada Allah Taala semoga diberi jalankan keluar dari kemelut ini.

Sebagai seorang isteri, tanggungjawab memikul keluarga dan juga ibubapa tidaklah terbeban ke atas bahunya, malah tidaklah berdosa jika tidak menunaikannya. Cuma menjaga hati ibubapa adalah satu kewajipan yang perlu diutama. Apabila ia berkecil hati dengan perkara yang betul atau tidak meredhai tindakan kita, akan mengundang pula kemurkaan Allah Taala. Tetapi bagi isteri ketaatannya kepada suami adalah keutamaan mengatasi segala ketaatannya kepada makluk.

Namun begitu bantulah ibubapa sekadar yang termampu, sekurang-kurangnya berkhidmatlah kepadanya sekadar yang terdaya dengan izin suami. Jelaskanlah kepadanya “duduk pangkal” kemelut yang berlaku dalam keluarga puan agar ia faham, sekurang-kurangnya mengharapkan doa dan restu daripadanya.

Saya doakan puan terus tabah untuk mengharungi badai ujian ini, pasrahlah kepada Allah Taala dengan banyak memohon pertunjuk daripada-Nya. Perbaikilah amal ibadah semoga dengan cara itu Allah Taala akan membuka jalan penyelesaian yang seluasnya dihadapan kita.

Ampun dan maaf dipinta di atas segala kekurangan tutur bicara dan jawapan pada soalan yang didamba. Semoga ianya menjadi panduan kepada puan dan buat diri ini juga. Semoga rahmat Allah Taala sentiasa memayungi kita semua. Amin Ya Robbal ‘alamin.

 

Sumber : https://mohamadzakihalim.com

 

Sumber : https://www.pesonapengantin.my/suami-tak-kerja-isteri-kena-tanggung-keluarga-sampai-tak-mampu-beri-duit-pada-ibu-sendiri/?fbclid=IwAR3ONEWBfsQMG7OLl2kToNYvz4I92b26P9AX_dcvIJyRdaQiXFLq9rPdB6c 

Post navigation