Tips Pengantin : Masalah Rumah Tangga, Wajib Berkir Dahulu Baru Bertindak

Spread the love

Berdepan dengan masalah rumahtangga, kita wajib menjadi setenang-tenang manusia. Kita wajib mendahulukan berfikir dahulu daripada bertindak dan berbicara.

Apabila berlakunya perbalahan, kita sedang didatangi beribu iblis yang sedang menghasut dan mengadu domba. Dan apabila salah sorang daripada kita mengambil alih memakai pakaian ‘iblis’, maka bersorak mereka.

Dan ketika tu, rasional akan sangat jauh dari kita. Bersangka baik dan berlapang dada apatah lagi. Lagi pula kita ini imannya setipis kulit bawang. Allahu, maka kitalah yang sedang menjadi iblis ketika perbalahan itu.

 

Saat salah sorang dari kita sedang disimbah api marah, mohon sebaik-baiknya, yang masih ada sedikit rasional atau iman di hati, beralah lah. Berundurlah kita ke belakang. Diamlah sebaik-baik diam. Dan jangan dihentikn istighfar dalam hati dan jiwa.

 

Tahanlah ammarah kita. Walau ngeri dan pedih kata-kata yang keluar daripada pasangan kita. Tarik nafas sedalam-dalamnya, dan hembuslah dengan tenang.

Ubahlah posisi kita, untuk bantu kita mengubah fokus emosi kita supaya tidak tertumpu pada ammarah tersebut.

Lama mana pun isteri kita nak menjerit-jerit kan? Lama mana pula suami kita nak membentakbentak kan? Andai dilihat lawan mereka hanya diam tanpa sebarang kata. Lambat laun, sejam dua, dia akan diam. Masa tu lah, baru kita bertindak. Bila kita di fasa yang lebih rasional.

Mesti ada yang kata, cakap senang lah. Tak kena kat batang hidung, boleh lah. Suami tak macam tu, boleh lah sembang. Isteri jenis senyap je, memang lah boleh bertenang.

Kawan-kawan, kami juga, saya dan suami, pernah Allah uji dengan ujian rumahtangga yang sangat menguji kami. Tapi masa itu jujurnya, saya yang tidak rasional. Saya marah, saya mengamuk. Saya rasa hilang arah. Sampai tahap, saya langsung tidak bercakap dengan suami.

 

Semasa fasa ujian kami, suami saya juga kadangkala Allah uji kesabarannya. Dia juga marah.

Dia juga tertekan dengan apa yang sedang kami lalui. Sekuat mana pun kami cuba elak daripada anak-anak nampak, kami gagal. Anak-anak juga terkesan dengan ketidakrasionalan saya sebagai isteri dan ibu.

Sampai ke hari ini, saya kadangkala tetap akan rasa menyesal dengan tindakkan saya ketika itu. Menjadi tidak waras, mengikut nafsu dan perasaan marah saya, dan hanya memikirkan kekecewaan saya di dunia, tetapi lupa yang saya ada hidup di akhirat yang abadi.

Kawan-kawan, bila kita tidak rasional, kita pasti akan melakukan perkara yang di luar tindakan yang sepatutnya. Kita tidak akan nampak, apakah cara terbaik yang mesti kita ambil ketika kita berhadapan dengan masalah.

Iya. Memang kita marah. Memang kita sangat tak tahan dah dengan apa yang sedang kita lalui. Kita dah penat dan rasa sakitnya nak teruskan lagi. Kita rasa nak putus asa dengan hubungan kita.

 

Bila ada ujian begini, kita sebenarnya sedang dilihat Allah, jalan manakah yang kita pilih.

Adakah ujian ini mendekatkan kita pada DIA, atau ujian ini menyebabkan kita jauh daripada DIA. Atau paling menakutkan, kita hilang DIA. Nauzubillah.

Jika berlaku begini, berilah masa kepada pasangan kita dan diri kita sendiri. Dengan syarat, kita dua-dua bersetuju. Bagitau, “Awak, saya nak masa bertenang seminggu ni.” “Sayang, abang perlukan masa untuk bertenang. Nant kita bincang semula ya.”

Ambillah masa kita, untuk bersama Allah. Muhasabah diri kita, apa yang berlaku, apa ujian yang sedang hadir, adalah kerana khilaf dan salah kita juga. Dalam masa yang sama, hitunglah seberapa banyak nikmat yang dah kita ada dan perolehi sepanjang hayat kita.

 

Bila kita menyenaraikan syukur dan segala kebaikan pasangan kita, kita akan sangat mudah berlapang dada dan berlembut hati. Kita akan lebih mudah nampak, apakah kebaikan ujian itu. Dan kita akan lebih senang untuk menggali satu persatu hikmah yang sedang Allah beri pada kita dan pasangan.

Carilah diri kita dalam pedih yang kita alami itu. Pujuklah hati kita dalam sedih dan perih lukanya perasaan itu. Hadirkanlah jiwa yang positif dalam setiap negatif yang sedang menghiris kalbu dan pemikiran kita. Ketika inilah, kita mesti hargai dan sayangi diri kita sendiri, supaya kita boleh kembali menyayangi.

Kawan-kawan, kita tidak keseorangan bila kita diuji. Kita ada DIA yang paling dekat dengan urat marikh kita. Kita ada DIA yang takkan pernah kecewakan kita. Kita ada DIA yang pasti akan membalas cinta dan kasih kita. DIA yang setiap saat mendengar keluh kesah kita. Maha Suci Allah daripada berdusta dan menyakiti hambaNya.

Carilah Allah dahulu. Dan dalam masa yang sama, carilah bantuan seperti kaunselor
perkahwinan atau sesiapa sahaja yang kita rasa boleh membantu kita dengan baik. Penting untuk kita berhadapan dengan masalah, bukan lari atau terus meninggalkan semuanya.

Berusahalah dahulu untuk perbaiki. Kerana kita yakin, Allah Maha Mengasihi.

Kami hari ini, saya dan suami, adalah produk kepada ujian dan cabaran yang kami lalui dan hadapi setiap hari. Apa yang kami kongsikan, kami juga laluinya. Apa yang kami cuba sampaikan, juga telah kami hadapi. Kami juga suami isteri realiti yang berhadapan dengan konflik dan masalah saban hari.


Semoga kita semua akan konsisten cuba dan terus mencuba untuk menjadi baik dan lebih baik setiap saat, selagi rumahtangga itu ada, hinggalah hujung nyawa sampai kiamat nanti. Ujian takkan berhenti, namun, Allah dah berjanji, setiap kesusahan pasti ada kesenangan menyusul selepasnya.


Janji Allah itu pasti!

 

Sumber : https://www.pesonapengantin.my/masalah-rumah-tangga-wajib-berfikir-dahulu-baru-bertindak/?fbclid=IwAR2hZDxFEbFngDj3nk7OHA1ydqKv9mgct0439MKtqQI9Sg6cbGcg16zH-gY

Post navigation