Tips Pengantin : Wahai Isteri Solehah, Syurgalah Menanti Untukmu Yang Tak Pernah Meninggi Suara Pada Suami

Spread the love

KETUA BIDADARI SYURGA MILIK ISTERI SOLEHAH


Allah S.W.T. berfirman: “Mahukah supaya Aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertakwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan/isteri-isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredaan dari Allah. (Al-Imran:15)

“Demikianlah keadaannya; dan Kami jadikan kawan teman mereka bidadari-bidadari yang putih melepak, lagi luas cantik matanya.” (Ad-Dukhan:54)

Mengenai keistimewaan wanita syurga dibandingkan kalangan bidadari, Rasulullah S.A.W. melalui hadis Baginda S.A.W, menyebutkan dari Ummu Salamah r.ha, ia berkata: “Aku bertanya, “Wahai Rasulullah, manakah yang lebih utama, wanita dunia ataukah bidadari yang bermata jeli?”

 

Baginda Nabi S.A.W menjawab: “Wanita-wanita dunia lebih utama daripada bidadari-bidadari yang bermata jeli, seperti kelebihan apa yang tampak daripada apa yang tidak tampak.”

Kemudian Ummu Salamah bertanya lagi: “Kerana apa wanita dunia lebih utama daripada para bidadari?”

Baginda Nabi S.A.W. menjawab: “Kerana solat mereka, puasa dan ibadah mereka kepada Allah. Allah meletakkan cahaya di wajah mereka, tubuh mereka dengan sutera, kulitnya putih bersih, pakaian berwarna hijau, perhiasannya kekuning-kuningan, sanggulnya dari mutiara dan sisirnya diperbuat dari emas. Mereka berkata: ‘Kami kekal abadi dan tidak mati, kami lemah lembut dan tidak jahat sama sekali, kami selalu mendampingi dan tidak berganjak sama sekali, kami redha dan tidak pernah bersunggut-sunggut sama sekali. Berbahagialah orang yang memiliki kami dan kami memilikinya.” (Riwayat Al-Thabrani)

 

Daripada Anas bin Malik r.a, Rasulullah S.A.W bersabda: “Jika sehelai dari rambut bidadari jatuh ke bumi, nescaya wanginya akan meliputi seluruh timur dan barat.” (Riwayat AlThabrani) Ibnul Qayyim memberikan penjelasannya mengenai hal ini: “Mengenai rambut bidadari ada dua sifat yang membuat kecantikannya semakin nyata dan memikat. Pekatnya hitam rambut terpadu dengan putihnya wajah dan mata yang bersinar indah.”

Imam Ibnu Qayyim juga menyebutkan dalam sebuah hadis sahih dalam Musnad Imam Ahmad, bahawa: “Ketika seorang suami beristerikan Hur‘ain (Bidadari), kemudian pada saat itu akan datang seorang wanita lain yang kecantikannya mampu membuat seorang raja melupakan wanita-wanita lainnya.” Wanita tersebut (isteri solehah) adalah isterinya sendiri sewaktu di dunia, itulah keistimewaan para-para isteri syurga, mereka akan menjadi ratu di kalangan Hur‘ain (bidadari).

Beliau juga mengatakan: “Apakah seorang Raja pernah memikirkan para bidadari di hadapan ratunya?” Tentu tidak…! Kerana Allah akan memberikan kecantikan tujuh puluh kali ganda yang luar biasa jauh melebihi para bidadari.

Ibnu Qayyim menjelaskan: “Kerana wanita syurga (isteri solehah) pernah melalui kesusahan sewaktu di dunia berbanding Hur‘ain (Bidadari). Mereka berjuang di jalan Allah, melalui saat kecelaruan mental dan fizikal, menunaikan kewajipan yang disyariatkan.”

Manakala Imam Abdirrahim bin Ahmad Al-Qadhiy menyebutkan: Rasulullah S.A.W. bersabda: “Allah S.W.T,menciptakan wajah bidadari dari empat warna, iaitu putih, hijau, kuning, dan merah. Allah S.W.T menciptakan tubuhnya dari minyak za’faran, misik, anbar dan kafur.

Rambutnya dari sutera yang halus. Mulai dari jari-jari kakinya sampai ke lututnya dari za’faran dan wangian. Dari lutut hingga dadanya, diciptakan daripada misik. Daripada dada ke lehernya dari Anbar dan dari leher sampai kepalanya terbuat dari kafur. Seandainya bidadari meludah ke dunia, maka jadilah semua air di dunia Kasturi. Di dadanya tertulis nama suaminya dan nama-nama Allah S.W.T. Pada setiap tangan dari kedua tangannya terdapat sepuluh gelang dari emas, sedangkan pada jari-jarinya terdapat sepuluh cincin, dan pada kedua kakinya terdapat sepuluh binggal (gelang kaki) dari Jauhar dan permata.”

Wanita syurga (para isteri solehah) diberi kemuliaan, kecantikan dan tempat yang lebih tinggi dari para bidadari biasa di syurga dengan tujuh puluh kali ganda lantaran mereka telah melalui berbagai-bagai ujian yang pahit dan manis serta telah pun bertungkus lumus beribadat kepada Allah ketika hidupnya dulu.

Manakala bagi seorang yang telah berkahwin dengan lebih dari seorang lelaki ketika di dunia, maka di syurga nanti yang kelebihannya mereka akan di beri kebebasan untuk memilih salah satu dari lelaki yang pernah mereka kahwini dahulu dan dalam syurga, dan sesekali mereka tidak sesekali menemui kepayahan.

Sebaliknya di syurga nanti para penghuninya melalui hari-harinya seperti bertemu pagi dan petang dengan suatu nur ajaib menjadi cahaya yang bakal meliputi seluruh taman syurga. Di dalam syurga itu kelak tidak akan berlaku sebarang kekecohan, pergaduhan, pertengkaran, sakit hati, hasad dengki dan berbagai-bagai lagi di kalangan para penghuninya yang ramai itu apa lagi di kalangan berpuluh orang bidadari yang menjadi isteri setiap seorang dari lelaki syurga. Ini kerana segala bibit perasaan dengki, iri hati, sombong, bongkak serta sesuatu yang seumpamanya di kikis dan di bersihkan dari hati para penghuninya. Maka aman dan damailah dan akan sentiasa bergemerlapanlah di taman-taman syurga setiap saat.

Apabila lelaki yang beruntung (lelaki ahli syurga yang beristerikan isteri derhaka) mula di hantar ke mahligai masing-masing, maka akan menunggulah para bidadari yang bakal menjadi isteri masing-masing di pintu mahligai itu dengan kerinduan yang amat sangat.

Akan berkatalah para bidadari itu ketika menyambut suami mereka di hari pertemuan paling bererti di syurga nanti. “Terlalu lama kami menunggu kedatanganmu. Kami sentiasa riang dan tidak pernah bersedih. Kami sentiasa lurus dan tidak pernah berlaku serong, kami juga hidup dan tidak pemah mati.”

Mata bidadari itu mengerdip redup dan manis dan tidak henti-henti menatap wajah suami masing-masing dengan hati yang penuh kerinduan. Berkatalah lagi para bidadari itu: “Engkau adalah kekasih kami dan kami adalah kekasihmu dan kami juga tidak mengenal orang lain selain darimu.”

Demikianlah suci dan bersihnya cinta dan kasih para bidadari di taman syurga terhadap suami masing-masing. Cinta mereka sentiasa tidak berbelah bagi, mereka tidak akan terpikat dengan lelaki lain meskipun semuanya tampan dan bergaya. Suami kepada para bidadari itu telah di tentukan awal-awal lagi. Mereka sudah tahu siapakah bakal suami mereka di akhirat kelak. Mereka mulai mengenal suami masing-masing sejak kelahiran lelaki berkenaan di dunia lagi. Apa yang berlaku ke atas diri lelaki tadi sentiasa di perhatikan oleh para bidadari ini yang tidak sabar menunggu saat pertemuan yang paling bererti di Syurga nanti.

Apabila seorang isteri di dunia menyakiti hati suaminya dan menyebabkan suami tersebut tersinggung atau marah maka akan segeralah para bidadari di syurga yang bakal menjadi isteri kepada suami dengan berkata: “Janganlah engkau menyakiti ia kerana ini akan menyebabkan kepada kemarahan Allah ke atasmu. Di sisimu cuma untuk sementara sahaja sebab di akhirat nanti yang menjadi suami kami pula”.

Diriwayatkan dari Ibnu Mas’ud r.a, RasulullahS.A.W. bersabda: “Sesungguhnya ketika Allah menciptakan syurga ‘Adn, Dia memanggil malaikat Jibril, berangkatlah engkau ke syurga ‘Adn dan lihatlah apa yang telah Aku ciptakan untuk hamba-hamba-Ku dan wali-wali-Ku.

Maka berangkatlah Jibril ke syurga ‘Adn dan mengelilingi syurga tersebut. Maka salah seorang bidadari dari penghuni istana-istana syurga yang masih muda dan matanya bersinar-sinar memuliakannya, lalu bidadari itu tersenyum pada malaikat Jibril, maka menjadi teranglah syurga ‘Adn kerana gigi-giginya.

Lalu malaikat Jibril bersujud, ia menyangka bahawa cahaya itu berasal dari Nur Tuhan Yang Maha Mulia. Maka bidadari itu memanggil malaikat Jibril: “Wahai makhluk yang taat perintah Allah, tahukah engkau untuk siapa aku diciptakan?” Soal bidadari.


Maka jawablah Malaikat Jibril a.s: “Sesungguhnya aku tidak tahu akan perkara ini”


Kemudian Bidadari berkata: “Sesungguhnya aku ini diciptakan oleh Allah untuk orang yang memilih redha Allah daripada menuruti hawa nafsunya.”

 


SUMBER FACEBOOK DapurJambu
GAMBAR HIASAN : AZFARINA SULAIMAN

 

 

SUMBER : https://www.pesonapengantin.my/wahai-isteri-solehah-syurgalah-menanti-untukmu-yang-tak-pernah-meninggi-suara-pada-suami/?fbclid=IwAR37j-G8vJ1L0n7LBgeE3YEjOVlPw9D4l0Xtv9HXa4NCS_5cooj9GYCxJls

Post navigation