Tips Pengantin : Duhai Isteri Yang Teruji, Bersabarlah. Percayalah, Ada Yang Memerhati. Ada Ganjaran Yang Menanti!

Spread the love

HATI SEORANG ISTERI

 

Letih. Lesu.
Berjuraian peluhmu. Terkejar-kejar setiap hari melunasi apa yang terpikul di bahu. Sedang mereka berdengkur lena, engkau masih tidak mampu melelapkan mata. Memikirkan pakaian yang perlu digosok, merancang menu sarapan untuk esok. Terkocoh kacah mengemas rumah.

Pontang panting menyiapkan keperluan. Untuk anak, untuk suami, untuk diri sendiri. Da nseperti kelmarin dan hari-hari sebelumnya, mereka cuma tahu menerima. Tiada ucapan terima kasih. Tiada tanda kasih.

 

Penat.
Tubuhmu seakan dilipat-lipat. Lenguh teramat. Lenguh pinggang. Lenguh kaki. Kadang serasa tak mampu berdiri. Pulang dari kerja, sudah kembali sedia bekerja. Nasi ditanak dan engkau mulai memasak. Yang menghidang untuk mula makan itu engkau, yang membasuh pinggan usai makan juga masih engkau. Mereka hanya tahu membasuh tangan sendiri. Kadang laju mulut mereka mengeluh hingga lupa memandang wajahmu yang berjuraian peluh.

 

Kalut.
Kepala berdenyut minta diurut. Sewaktu kau mengadukan sakit itu dan ini, jawapan mereka mudah. Berehatlah. Jawapan yang tidak engkau harapkan lantaran ia tidak selari dengan kenyataan. Jika berehat, siapa yang akan buat segala kerja yang bertingkat-tingkat? Jika tidur, adakah bangun nanti, semuanya sudah teratur? Melihat si suami terus ralit dengan telefon bimbit dan anak-anak yang terjerit-jerit, engkau hanya mampu tersenyum pahit. Tubuh yang sakit dipaksa bangkit. Engkau menarik nafas, kembali bertugas dengan derita yang kian pulas.

 

Sungguh.
Tubuh yang keletihan sudah cukup mendera perasaan. Lalu saat matamu memandang rautnya yang masam, saat dia tiba-tiba diam, atau saat telingamu menadah herdikan, aku faham andai kau tertekan.

Duhai isteri yang teruji, aku melihat riak kecewa itu ada di matamu. Aku merasai gelombang derita di gaung jiwamu. Bersabarlah. Barangkali suami dan anak-anak tidak mengerti kepayahanmu. Barangkali mereka tidak pandai merai dan menghargai pengorbananmu. Namun Allah tahu!

 


Sungguh.
Tidak ada setitik pun peluhmu yang tumpah tanpa kafarah. Tidak sia-sia walau setitik pun airmata yang kau titiskan kerana Allah. Pada lukamu yang terpaksa kau rawat sendiri. Pada marahmu yang kau pendam dan kau padam dalam diam. Percayalah. Ada yang memerhati.

Ada ganjaran yang menanti!


Nukilan BONDA NOR

 

SUMBER : https://www.pesonapengantin.my/duhai-isteri-yang-teruji-bersabarlah-percayalah-ada-yang-memerhati-ada-ganjaran-yang-menanti/?fbclid=IwAR1TJH6wM1-ADTu-YBM_iSODvKK8nPHY04XHFWYDjAiydI91lyw5cRFSFmc

Post navigation

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *