Tips Pengantin : Kalau Dah Tahu Tak Mampu Berlaku Adil, Kenapa Berangan Nak Kahwin Lebih

Spread the love

Perlukah Suami Minta Izin Isteri?


Saya telah lama hidup berpoligami. Tak usahlah saya buka cerita lama tersebut, sudah makan hati berulam jantung. Sehingga kini saya rasa tersinggung tetapi kerana saya memang sudah tidak ada tempat bergantung yang lain, saya terpaksa akur. Kawan saya kini mengalami perkara yang sama. Suami dia ingin berpoligami. Menurutnya, oleh sebab memang sudah ada undang-undang baru di Selangor, izin isteri adalah perlu dan wajib. Masa suami saya kahwin dulu dia tak ada pun minta izin saya. Betul ke ada undang-undang baru di Selangor yang suami kena minta izin isteri?


Suhaida Amin,
Kuala Lumpur.

 

 

Jawapan:

Terdapat dua ayat al-Quran yang membincangkan isu poligami. Surah Al-Nisa’, ayat 3
menyatakan:

“Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap anak-anak yatim, maka berkahwinlah dengan perempuan yang kamu berkenan, dua, tiga, atau empat. Tetapi jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (Antara isteri-isteri kamu), maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja…Yang demikian itu adalah lebih dekat, (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.”


Kemudian dalam ayat 129 surah yang sama, Allah berfirman seterusnya;

“Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil antara isteri-isteri kamu, sekalipun kamu
bersungguh-sungguh (hendak melakukannya).”


Menurut dua ayat di atas, poligami lebih dilihat kepada satu tanggungjawab dan sekatan untuk memastikan keadilan terhadap balu dan anak-anak yatim. Tetapi poligami yang berlaku sekarang kebanyakannya adalah tidak menurut asas ini.


Mengikut perundangan syariah di Malaysia, kaum lelaki dibenarkan berpoligami tetapi beliau haruslah memenuhi beberapa syarat. Setiap negeri mempunyai syarat yang berbeza berkaitan poligami. Contohnya di negeri Perak, suami yang hendak berpoligami tidak perlu memohon kebenaran mahkamah. Tetapi lain halnya di Selangor dan Kuala Lumpur. Di keduadua negeri ini, suami yang ingin berpoligami hendaklah mendapatkan kebenaran Mahkamah Syariah terlebih dahulu.

 

Di Selangor, seorang suami yang ingin memohon untuk kebenaran berpoligami perlu mengikuti sesi kaunseling untuk perbincangan, nasihat dan untuk mendapatkan panduan berumah tangga. Beliau harus mengisi borang IB, iaitu borang permohonan berpoligami dan membuat Akuan Bersumpah dengan membawa dua orang saksi lelaki. Mahkamah Syariah akan memberi satu tarikh bagi membicarakan permohonan suami.


Ini menurut seksyen 23 Undang-Undang Keluarga Islam (negeri Selangor) 2003. Dalam mendapatkan kebenaran mahkamah, ada beberapa faktor yang akan dipertimbangkan.


Menurut seksyen 23(4) faktor-faktor yang dipertimbangkan ini antaranya adalah mengapa poligami itu patut dan perlu, pendapatan suami, tanggungannya, yang sedia ada dan yang akan ditanggungjawabkan dan sama ada izin atau pandangan isteri sedia ada telah diperoleh.


Apa yang dimaksudkan di sini adalah Mahkamah Syariah akan juga mengambil kira perasaan isteri dalam perkahwinan poligami yang dirancang oleh suami. Ia bukanlah bermakna bahawa sekiranya isteri sedia ada tidak bersetuju, Mahkamah Syariah akan turut tidak bersetuju.


Persetujuan isteri hanyalah salah satu perkara yang akan dipertimbangkan oleh mahkamah.


Mahkamah Syariah masih boleh memberi kebenaran bagi suami untuk berpoligami sekiranya isteri sedia ada tidak bersetuju ke atas permohonan poligami suami.


Salah satu seksyen (5) yang baru di dalam enakmen ini adalah Mahkamah Syariah hendaklah memanggil suami, isteri sedia ada, bakal isteri, wali kepada bakal isteri dan mana-mana pihak yang mahkamah fikir patut untuk memberi keterangan tentang perkahwinan poligami ini.


Perkara ini membolehkan perkahwinan ini diketahui oleh semua pihak yang terbabit dan tidak berada di dalam keadaan rahsia. Ia dapat mengelakkan kes-kes di mana isteri sedia ada tidak mengetahui suami telah berkahwin lain, suami yang menipu mengenai status kahwinnya yang sebenar kepada bakal isteri, suami berbohong dalam borang permohonan kahwin dan ketidakadilan ke atas anak-anak kerana tidak mendapat nafkah secukupnya.


Adalah wajar bagi mahkamah untuk memanggil isteri sedia ada bagi memberi keterangan terhadap permohonan poligami suaminya. Ini kerana isteri sedia ada sudah bertahun-tahun bersama suaminya dan dia lebih arif terhadap prilaku suami daripada orang lain. Tentu sekali sekiranya suami adalah seorang yang suka mendera, menipu atau berbohong dia tidak layak untuk berpoligami.


Persoalan kemampuan suami untuk berlaku adil antara isteri-isteri adalah penting untuk ditentukan dan tiada siapa yang lebih layak memberi pandangan selain daripada isteri sedia ada. Suami yang mahu berpoligami haruslah tidak menganggu nafkah keluarga sedia ada.


Dalam kes Rajmah Lwn Abdul Wahab (1990) 7 JH 171, Jawatankuasa Ulang Bicara Syariah Selangor telah menolak permohonan poligami kerana suami telah gagal untuk membuktikan kemampuan kewangannya untuk berpoligami.


Sememangnya terdapat kes di mana suami tidak memberitahu isteri sedia ada mengenai permohonan poligaminya. Sekiranya suami berkahwin di luar negara maka dia hanya perlu mendaftarkan perkahwinan poligami tersebut.


Proses pengesahan adalah berlainan dari perbicaraan poligami dan isteri sedia ada tidak perlu dipanggil untuk hadir.


Juga sekiranya suami berkahwin di negeri lain dari tempat dia tinggal, contohnya sekiranya dia menetap di Selangor dan memohon untuk berkahwin di Perlis. Undang-undang Syariah di Malaysia adalah berdasarkan tempat dan bermakna keperluan syarat yang ada di Selangor  adalah tidak terpakai di Perlis. Oleh itu, isteri sedia ada tidak perlu dipanggil.


Justeru adalah perlu bagi keseragaman undang-undang syariah di Malaysia, bersamaan dengan undang-undang sivil. Apalagi kita merupakan satu Negara dan oleh itu tidak perlu adanya berlainan undang-undang syariah di setiap negeri. ia juga memudahkan masyarakat Islam kita.

Panel Peguam Sisters In Islam.

 

SUMBER : https://www.pesonapengantin.my/kalau-dah-tahu-tak-mampu-berlaku-adil-kenapa-berangan-nak-kahwin-lebih/?fbclid=IwAR2K0Nbg-pc47-4b_R9vSZxUsG-T304c6wxwWavEEcn3kt-kiJ_gNW5z5X8

Post navigation

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *