Tips Pengantin : Ustaz Ini Kongsi 10 Nasihat Untuk Bakal Suami Yang Boleh Dilakukan Pada Isteri Nanti

Spread the love

Hubungan suami isteri merupakan asas utama dalam sebuah keluarga. Selepas berkahwin suami memikul tanggungjawab yang cukup besar dalam melayan isteri dengan memberi bimbingan kebaikan ke jalan yang diredai.

Bagi memastikan suami memberi bimbingan yang sebaiknya kepada isteri, Ustaz Abu
Basyer kongsikan 10 nasihat untuk suami agar ia dapat dilaksanakan kepada isteri.

 

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Seorang suami yang bertanggungjawab akan cuba memahami sikap dan tabiat isterinya dan akan cuba menasihati dan membaiki segala kekurangan yang dimiliki oleh isterinya. Isteri yang baik pula akan menggunakan segala potensi yang dia miliki iaitu sifat lemah lembut dan penyayang akan dicurahkan kepada suaminya semoga terbina rumah tangga bahagia.

 

1. Bersikap Tegas & Lemah-lembut Terhadap Isteri

Betapapun seorang wanita itu mempunyai kemampuan dan kemahuan yang tinggi,memiliki kemahiran serta percaya terhadap diri sendiri namun pada hakikatnya, ia masih ingin mencari perlindungan dengan seorang lelaki. Jika keinginan mencari perlindungan itu datangnya dari wanita, namun selalunya ia merahsiakannya. Seandainya hajatnya tercapai, ia mengharapkan layanan yang lemah lembut dan amat mengharapkan perlindungan dari lelaki yang bertanggungjawab.

Sifat lemah lembut dan tegas ini harus dimiliki oleh lelaki kerana setiap isteri mengharapkan suaminya mampu menjadi pemimpin dalam rumahtangga yang dibina. Sifat tegas dan lemah lembut ini biarlah kena pada tempatnya.

Dari Abu Hurairah r.a ia berkata: Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Pergaulilah kaum wanita itu dengan pergaulan yang lemah lembut, kerana sesungguhnya kaum wanita itu dijadikan dari tulang rusuk dan sesungguhnya tulang rusuk itulah yang sebengkok-benkoknya ialah yang paling atas.

Maka apabila engkau hendak meluruskannya, luruskannlah dengan perlahan dan apabila tidak diluruskan, ia sentiasa bengkok selama-lamanya. Oleh sebab itu pergaulilah wanita dengan pergaulan yang lemah lembut.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

 

2. Memberi Pujian Terhadap Isteri

Peranan wanita sebagai ibu menyebabkan ia perlukan perlindungan daripada keyakinan. Hanya suami yang bijaksana dapat memberikan keyakinan kepada isterinya. Dengan cara memberikan penghargaan seperti pujian, hadiah ataupun ungkapan yang boleh menambahkan keyakinan dalam diri isteri.

Hadiah merupakan pelembut bagi hati. Hadiah juga merupakan tanda kesediaan seseorang itu berkasih dengan seseorang yang lain. Apabila seseorang itu memberikan sesuatu hadiah, orang yang menerimanya akan rasa dihargai. Jika penerima itu sedang sedih atau marah, biasanya perasaan sedih dan marah itu akan semakin kurang atau terus hilang.

Rasulullah SAW menunjukkan teladan hebat sebagai seorang suami yang gemar memberikan hadiah buat isteri-isterinya. Bahkan baginda mengaitkan secara jelas, ikatan antara hadiah dan kasih sayang Nabi SAW bersabda maksudnya : “Berilah hadiah sesama kamu, pasti kamu akan berkasih sayang.” (Al-Mukjam Al-Awsat : 7448.)
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Kebahagiaan bagi anak Adam ada tiga. Dan kesengsaraan terhadap anak Adam ada tiga. Maka di antara yang membahagiakan adalah isteri yang solehah, kenderaan yang baik serta rumah yang lapang. Dan kesengsaraan bagi anak Adam ada tiga iaitu tempat yang tidak baik dan isteri yang tidak baik serta kenderaan yang tidak baik.”

 

3. Menentukan Batas Tanggungjawab

Islam telah mengatur tanggungjawab terhadap suami dan isteri. Suami berkewajipan mencari nafkah yang halal untuk kelurganya dan isteri pula berkewajipan melayan suami serta mengasuh anak-anak.

Ini bukan bermakna tanggungjawab lain patut diabaikan, malah semua tanggungjawab lain seharusnya dipikul bersama mengikut keadaan masa dan tempat.

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Tidaklah engkau menafkahkan satu nafkah yang dengan engkau mengharap wajah Allah kecuali engkau akan diberi pahala dengan sampai pun satu suapan yg engkau berikan ke mulut istrimu.” (Hadis Riwayat Muslim)

 

4. Menghindari Kritikan Terhadap Isteri

Kritikan bukan satu-satunya cara untuk menyelesaikan masalah. Ia boleh dilakukan, namun biarlah dengan lembut dan bertempat. Jangan sesudah bernikah, suami merasa berhak berkasar, mengkritik dan menghina isteri sewenang-wenangnya kerana banyak kesannya pada isteri.

Suami yang terlalu banyak mengkritik isteri akan meninggalkan kesan negatif terhadap isterinya Firman Allah dalam surah An-Nisa‘ ayat 19 maksudnya : “Dan bergaullah kamu dengan mereka ( isteriisteri kamu itu ) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).”

 


5. Memperhatikan Sesuatu Yang Romantik

Suami seringkali kurang memperhatikan keperluan yang tidak begitu penting seperti ulangtahun isteri, perkahwinan dan sebagainya. Namun bagi wanita, hal sebegitu penting. Cinta bukan hanya berkaitan dengan perasaan tetapi juga berkaitan dengan aktiviti romantik yangmempunyai nilai yang bererti dalam diri wanita. Mungkin sesuatu yang tidak bererti pada lelaki namun ianya amat bernilai pada wanita. Oleh itu suami harus banyak mempelajari keperluan isteri dan tidak menganggap remeh terhadap kepentingan isteri.

Dari Umarah, ia berkata: Saya bertanya kepada Aisyah r.a: “Bagaimana keadaan Rasulullah SAW bila berduaan dengan isteri-isterinya?” Jawabnya: “Baginda adalah seorang lelaki seperti lelaki-lelaki lainnya, tetapi bezanya baginda seorang lelaki yang paling terhormat, paling lemah lembut, serta senang tertawa dan tersenyum.” (Hadis Riwayat Khara’iti dan Ibnu ’Asakir) Aisyah berkata : “Aku selalu mandi bersama dengan Rasulullah SAW daripada satu bekas, dan kami ketika itu sedang berjunub” (Hadis Riwayat Muslim: 482)

Mandi bersama bukan sekadar berada di bilik air bersama-sama sambil mandi-manda. Malah ia disertakan juga dengan aktiviti-aktiviti romantik yang boleh meningkatkan kemesraan dan keseronokan. Nabi SAW sendiri ketika mandi itu, tidak sekadar mandi bersama-sama semata-mata.

Aisyah yang mandi bersama Nabi bercerita bahawa ketika sedang Nabi SAW mandi bersama, Baginda SAW merungkai-rungkaikan rambut Aisyah. (Hadis Riwayat Muslim: 498).

Demikianlah romantiknya Rasulullah SAW bersama isteri baginda.

 


6. Memahami Isteri Yang Ingin Selalu Di Samping Suami

Setiap isteri selalu menginginkan serta merindukan untuk selalu bersama suaminya. Isteri selalu mengharapkan perhatian yang cukup dari suaminya. Kerana itu, suami yang baik akan berusaha meluangkan masa untuk bersama isterinya. Selalu bersama boleh meningkatkan kasih sayang.

Sesungguhnya isteri juga ingin melihat pasangannya yang memiliki penampilan yang menarik sebagaimana suami inginkan isteri yang anggun lagi bergaya disisinya. Firman Allah S.W.T. maksudnya : “Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak)” (Surah alBaqarah ayat 228)

Ibnu Abbas radhiallahu ‘anh berkata: “Sesungguhnya aku senang berhias untuk isteriku sebagaimana aku senangi isteriku berhias untukku.”

 

SUMBER : https://www.pesonapengantin.my/ustaz-ini-kongsi-10-nasihat-untuk-bakal-suami-yang-boleh-dilakukan-pada-isteri-nanti/?fbclid=IwAR3QNKlixPBiEuWTaOYLIhSiBaYwZGhceu_4a4M8t_p9G7C1F-BrEwq_S94

Post navigation

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *