Tips Pengantin : Janganlah Disebabkan Hantaran Mahal, Rasa Terbeban Sampai Kahwin Pun Tertangguh

Spread the love

Pengertian mahar menurut islam.


Mahar atau selalu disebut sebagai mas kahwin merupakan pemberian oleh seorang lelaki kepada seorang wanita atas sebab berlakunya akad nikah. Al-Quran menyebutnya sebagai ‘saduq’, ‘nihlah’, ‘faridah’, ‘hiba’ dan ‘ajr’. Namun, semua istilah tersebut membawa maksud dan pengertian yang hampir sama iaitu pemberian berlandaskan kejujuran, tanda persetujuan dan pemberian wajib yang tidak mengharapkan imbalan dan balasan. Ia adalah suatu pemberian ikhlas daripada sang suami untuk isterinya.


Al-Quran menyebut mengenai mahar dalam surah Al-Nisa ayat 24 yang bermaksud;
“Maka, isteri-isteri yang telah kamu nikmati (setubuhi) dengannya (setelah ia menjadi isteri kamu), maka berikanlah kepada mereka maharnya (yang sempurna) sebagai suatu kewajipan.” (Surah An-Nisa; ayat 24)


Dalam ayat ini mahar dikaitkan dengan persetubuhan suami isteri. Ini kerana, Allah SWT.


memerintahkan kepada para suami yang telah mencampuri isteri mereka agar memberikan mahar sebagai satu pemberian yang wajib. Terdapat juga hadis yang menceritakan bahawa Nabi Muhammad SAW melarang Ali Bin Abi Talib K.W. daripada menggauli isterinya, Fatimah sebelum menunaikan hak mahar Fatimah. Ditambah pula dengan sebahagian fuqaha yang menggambarkan mahar seolah-olah hanya sebagai imbalan dan upah kepada istimta‘, iaitu persetubuhan yang dinikmati oleh suami dan isteri.

 

Perbezaan definisi mengenai mahar mengikut mazhab;


a) Ulama Hanafiyyah – sejumlah harta yang menjadi hak isteri kerana akad perkahwinan atau terjadinya hubungan kelamin suami isteri.
b) Ulama Malikiyyah – sesuatu yang menjadikan isteri halal untuk disetubuhi.
c) Ulama Shafi‘iyyah – sesuatu yang wajib diberi disebabkan akad nikah atau persetubuhan.
d) Ulama Hanabilah – balasan daripada suatu perkahwinan, termasuk dengan sebab
persetubuhan.

 


Definisi-definisi mahar yang dikemukakan tersebut tidak menggambarkan konsep dan objektif di sebalik pensyariatan mahar secara keseluruhannya, sebaliknya diertikan dalam skop yang sempit. Ia bukan sahaja memberi implikasi terhadap status wanita dalam kehidupan berumah tangga, bahkan memberi kesan negatif terhadap peranan mahar itu sendiri seolah-olah ia hanya sebagai bayaran untuk hubungan kelamin semata-mata seperti mana amalan dan tradisi masyarakat Jahiliah.


Hantaran bukan mas kahwin.


Dalam masyarakat Melayu, amalan adat memberi hantaran atau belanja hangus perlu dibezakan dengan mahar. Apa itu hantaran? Hantaran adalah pemberian atau hadiah oleh seorang lelaki kepada wanita semasa majlis akad nikah. Ia tiada kaitan dengan akad nikah malah tidak disebut dalam akad dan jika tidak diberi tidak menjejas akad nikah. Hantaran dipersetujui semasa majlis meminang atau bertunang. Tujuan hantaran adalah biasanya untuk digunakan bagi menanggung segala kos perkahwinan. Semakin besar sesuatu perkahwinan, semakin tinggi kos perbelanjaan dan hantaran yang dikenakan kepada pengantin lelaki.


Di Malaysia, mahar ditetapkan oleh Majlis Agama Islam negeri-negeri tetapi wang hantaran ditetapkan oleh keluarga. Adat ini diamalkan berkurun lamanya sehinggakan sukar untuk dihakiskan. Amalan memberi hantaran tinggi juga menjadi-jadi sehingga timbul isu penggredan hantaran mengikut kelulusan atau pencapaian akademik pengantin perempuan atau jawatan yang dipegangnya.


Ia juga menyebabkan orang tersalah tafsir dan keliru yang mana wajib dan mengikut sunnah dan yang mana adat yang boleh ditinggalkan. Jika hantaran dijadikan mahar, ia boleh menjamin masa depan pengantin perempuan sebagai hadiah perkahwinan itu sendiri. Wang hantaran dan segala pemberian bukan sesuatu yang wajib, namun jika ia dijanjikan semasa majlis pertunangan dan menjadi syarat kepada pernikahan maka ia boleh dituntut jika pasangan tidak jadi kahwin atau putus tunang.


Ia juga boleh dituntut berasaskan janji (kontrak) pertunangan jika pasangan bernikah. Apa pun jika pasangan yang ingin berkahwin mengikat janji dengan sepenuh keikhlasan dan amanah, isu wang hantaran tidak mencukupi atau tidak dipenuhi tidak timbul.

 

 

 

SUMBER : https://www.pesonapengantin.my/janganlah-disebabkan-hantaran-mahal-rasa-terbeban-sampai-kahwin-pun-tertangguh/?fbclid=IwAR0j1XxCdy-SIZ2Gx0-ur-PAWJWQ1bb2gSBvH3GK7nJQWs1JwuSOncjZYxU

Post navigation

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *