Tips Pengantin : Hebohkan Atau Sembunyikan Pertunangan?

Spread the love

Kebanyakan berpendapat lebih cenderung mengatakan bahawa perlunya pertunangan itu dihebahkan. Ini bagi mengelakkan berlakunya pinangan di atas pinangan.


Darah manis! Itu metaforanya bagi menggambarkan fasa pertunangan walaupun sebenarnya tidak ada penjelasan jelas dari sudut hukum-hakam tentang istilah ‘darah manis’. Apabila seseorang individu atau pasangan berada dalam fasa ‘darah manis’ maka mereka selalu diberi pelbagai pesanan daripada orang terdekat demi menjaga perhubungan berkenaan supaya akhirnya pasangan itu berjaya diijabkabulkan, dan menjadi suami isteri yang sah.


Majoriti ulama berpandangan bahawa mengadakan pertunangan itu sekadar harus hukumnya. Walau bagaimanapun, Mazhab Shafie mempunyai pandangan bahawa bertunang itu hukumnya sunat.

Antara rasionalnya adalah, membina hubungan pertunangan bererti membina fasa eksklusif antara seorang lelaki dengan seorang perempuan yang mempunyai perancangan untuk hidup bersama sehingga akhir hayat. Suasana eksklusif perlu dibina supaya bakal pengantin dapat memberi tumpuan kepada perhubungan mereka tanpa ada sebarang gangguan daripada pihak-pihak yang tidak berkaitan.


Sehubungan itu, syariah menghukumkan haram untuk mana-mana lelaki melamar seorang perempuan yang sudah pun dilamar oleh seorang lelaki tertentu, atau secara ringkasnya seorang perempuan yang sudah menjadi tunangan orang. Kecuali lelaki berkenaan yang mahu melamar perempuan terbabit mendapat izin daripada tunangannya, ataupun pertunangan tersebut diputuskan.

 

SERENTAK DENGAN PERKARA INI JUGA, DISUNATKAN PULA UNTUKMERAHSIAKAN HUBUNGAN PERTUNANGAN DARIPADA ORANG LAIN ATAU ORANG RAMAI. HAL PERTUNANGAN LEBIH BAIK DIRAHSIAKAN BAGI MENGELAKKAN BERLAKUNYA PERASAAN-PERASAAN YANG TIDAK DIINGINI SEKIRANYA PERHUBUNGAN YANG TERJALIN HANYA MENEMUI KEGAGALAN.

 

Walau apa pun punca kegagalan perhubungan berkenaan, nama baik setiap individu dan ahlikeluarga serta kerabat dapat dilindungi. Hanya kalangan mereka yang terdekat sahaja yang mengetahui pasangan berkenaan pernah menjalinkan hubungan pertunangan tetapi gagal.


Keadaan ini juga dapat mengelakkan timbulnya pandangan kurang baik daripada masyarakat awam.


Pertunangan adalah janji bagi kedua-dua belah pihak iaitu pihak lelaki dan perempuan untuk mengikat tali perkahwinan. Biasanya perkara ini melibatkan waktu-waktu tertentu yang telah ditetapkan oleh kedua-dua belah pihak.


Soalan yang biasanya timbul di dalam pertunangan ialah adakah dibenarkan syarak untuk menghebahkan pertunangan tersebut sepertimana majlis perkahwinan atau tidak?


Sebahagian ulamak berpendapat bahawa menyembunyikan pertunangan adalah perkara yang digalakkan. Ini kerana terdapat hadis daripada Ummu Salamah R.A. yang mana Rasullullah S.A.W. telah bersabda:


أظھروا النكاح، وأخفوا الخطبة


Maksudnya:Zahirkan (iklankan) pernikahan dan sembunyikan pertunangan.


Riwayat Al-Imam Al-Dailami di dalam Musnad Al-Firdaus (1/1/27)


Disebabkan itu sebahagian Al-Malikiyyah (pendapat yang berpandukan mazhab Imam Malik bin Anas bin Abi Amir Al-Ashbahi 93 – 179H) berpendapat bahawa menyembunyikan pertunangan adalah digalakkan. Perkara ini juga seperti mana yang terdapat di dalam kitab Syarh Mukhtasar Al-Khalil yang mana Al-Kharasyi Rahimahullah (wafat 1101H) menyebutkan:

Maksudnya: Adapun Al-Khitbah (pertunangan), maka digalakkan untuk menyembunyikannya seperti Al-Khitan. Digalakkan untuk menyembunyikannya kerana takut akan hasad yang mana boleh membantu merosakkan di antara orang yang bertunang dan pasangan yang ditunangnya.

 

SELAIN ITU ADA JUGA PENDAPAT LAIN YANG MENYATAKAN TIADA MASALAH UNTUK MENGHEBAHKAN PERTUNANGAN SESEORANG ITU KERANA TIADA NAS YANG SAHIH DI DALAM LARANGAN BERBUAT DEMIKIAN. HADIS UMMU SALAMAH R.A. YANG DISEBUTKAN SEBELUM INI, DINILAI DHAIF (LEMAH) OLEH SEBAHAGIAN MUHADDIS (ORANG YANG PAKAR DALAM ILMU HADIS).

 

Kesimpulan
Kebanyakan berpendapat lebih cenderung mengatakan bahawa perlunya pertunangan itu dihebahkan. Ini bagi mengelakkan berlakunya pinangan di atas pinangan yang mana ia jelas diharamkan di dalam Islam. Dengan menghebahkan pertunangan, sedikit sebanyak boleh mengelakkan perkara tersebut. Dalam sebuah hadis daripada Ibn ‘Umar R.A., Rasulullah S.A.W. telah bersabda:

Maksudnya:Janganlah seseorang itu membeli atas pembelian saudaranya dan janganlah meminang atas pinangan saudaranya yang lain kecuali jika diizinkan. Riwayat Muslim (1412)


Al-Imam Al-Nawawi Rahimahullah (wafat 676H) mengatakan bahawa hadis ini secara zahirnya menunjukkan haramnya meminang atas pinangan orang lain. Lebih-lebih lagi jika pinangan tersebut telah diterima dan tidak mendapat keizinan daripada orang yang dipinang tersebut.


Kesimpulannya tiada masalah untuk menghebohkan pertunangan. Namun janganlah berlebihlebihan dalam menghebahkan serta menyambutnya kerana pertunangan hanyalah janji kepada perkahwinan dan boleh sahaja pertunangan tersebut dibatalkan. Oleh yang demikian itu, bersederhanalah dalam pertunangan kerana perkara ini lebih dituntut. Namun begitu dibolehkan juga merahsiakan pertunangan untuk mengelakkan hasad dengki dan sebagainya selagi mana tidak timbul fitnah.

 

 

SUMBER : https://www.pesonapengantin.my/hebohkan-atau-sembunyikan-pertunangan/

Post navigation

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *